KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun
kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya
dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara,
termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan
Tasawuf.
Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh
ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari
itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu
selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.
Karya Ilmu Usuluddin
Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu
Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua
Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk
ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal
Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang
berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M)
dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan
wafat tahun 333 H) dan pentafsiran- pentafsiran ulama-ulama muktabar
sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam
al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895
H/1490 M) dan ramai lagi.
Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga
dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya
dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam
bahasa Arab dan bahasa Melayu.
Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud
bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal.
Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga
judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.
Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah
penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad
Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis
petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal
dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan
perlu membahasnya.
Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah
sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232
H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.
Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli
Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan
gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil
'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).
Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani
menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa
Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul
Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa
dinyatakan tahun selesai penulisan.
Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat
Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di
Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani
Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain
kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab
fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul
Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.
Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani
pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab
dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh
Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda
minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya
judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam
bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh
Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani
menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi
'Aqaidil Iman.
Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang
paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul
Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah
tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya
fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin,
'Unwanul Falah.
Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal
Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat
tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi
ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.
Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab
akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul
Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh)
dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua
dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya
Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun
karangan-karanganny a muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh
Ahmad al-Fathani.
Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya
menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya
ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308
H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua
di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.
Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak
tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak
pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah
risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan
tarikh selesai penulisan.
Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama
Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani
yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya
penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan
beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang
dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:
1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman
yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an
Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq
para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada
Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah
wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab
mengenai itu.
Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu
Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40tahun, dan
keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus
Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang
tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan
ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak
pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab
Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain
beliau.
Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya
Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti
yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan
tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis
Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa
Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul
Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah.
Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi
seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti
syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.
2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan
pengikut-pengikutny a adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak
berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.
Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan
jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian
diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang
atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang
yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni
mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang
salih-salih ..."
3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan
pengikut-pengikutny a hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak
Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh
Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah
Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam
Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan
tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah,
iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus
bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada
hak Nubuwah dan risalah pula."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar