Rabu, 05 Desember 2012

Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf

KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran- pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karanganny a muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutny a adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutny a hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar